MAPHIS 2024 : Pemangkin Semangat Pelajar Prasiswazah Sains Bioperubatan FSK, UKM
Oleh : Dhia Emylia, Pemantau Exco Publisiti, Kelab Sains Bioperubatan UKM Sesi 2024/2025
7 OKTOBER 2024, KUALA LUMPUR – Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM telah menganjurkan Majlis Anugerah Pelajar dan Hari Interaksi Alumni Sains Bioperubatan (MAPHIS) 2024 di hari pertama semester baru bagi sesi 2024/2025 yang bermula hari ini. Tema "Menjulang Prestasi, Mencipta Legasi" yang dipilih pada tahun ini adalah amat bersesuaian dengan objektif utama penganjurannya iaitu untuk meraikan kecemerlangan pelajar pada sesi 2023/2024 yang lalu. Tambahan pula, majlis yang merupakan acara tahunan ini juga turut diserikan dengan kehadiran alumni yang dijemput khas untuk bersama-sama meraikan hari yang bermakna ini.
MAPHIS 2024 ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar dari Kelab Sains Bioperubatan, dan telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Asmah Hamid, selaku Ketua Program Sains Bioperubatan, FSK UKM. Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Asmah telah mengucapkan tahniah kepada para pelajar atas pencapaian cemerlang mereka dan mengalu-alukan pelajar tahun pertama yang bakal memulakan perjalanan akademik mereka di UKM. Dr. Asmah menekankan kepentingan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum bagi melahirkan graduan yang holistik. Beliau turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dengan gigih dan tidak hanya mengejar kecemerlangan dalam peperiksaan, tetapi juga melibatkan diri dalam aktiviti yang dapat membentuk kepimpinan, daya saing, dan jaringan kerjaya yang luas. Dr. Asmah turut menyeru para alumni untuk terus menyumbang dengan berkongsi pengalaman, menjadi mentor, serta membuka peluang kepada generasi baru dalam memahami dunia pekerjaan yang mencabar.
Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih daripada 200 peserta yang terdiri daripada para pensyarah, kakitangan, dan juga pelajar daripada tahun pertama hingga tahun keempat pengajian. Selain mengiktiraf kecemerlangan pelajar yang memperoleh Anugerah Dekan dan juga lonjakan akademik pada sesi 2023/2024, MAPHIS 2024 juga turut memperlihat penganugerahan Tokoh Bestari dan Tokoh Bitara kepada pelajar yang berkelayakan. Anugerah Tokoh Bestari telah disandang oleh Mohamad Aqil Aurora Yusni, kini berada di tahun akhir pengajian, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik sepanjang enam semester. Manakala, Anugerah Tokoh Bitara pula dimenangi oleh Aiman Zakwan Azman, juga pelajar di tahun akhir pengajian, atas kecemerlangannya dalam akademik serta penglibatan aktif dalam kokurikulum sepanjang tiga tahun di UKM.
Antara pengisian menarik pada hari tersebut adalah sesi interaksi bersama alumni, yang membuka ruang untuk mahasiswa/i bertanya soalan mengenai peluang kerjaya dan cabaran yang dihadapi dalam bidang bioperubatan. Jemputan alumni pertama iaitu Encik Mohd Azam bin Azmi (Alumni 2011), Eksekutif Perancangan Infrastruktur di Premier Integrated Labs, berkongsi tentang pentingnya kemahiran teknikal dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang berkaitan makmal. Manakala Encik Shahrul Nizam Hanafiah (Alumni 2009), yang kini Pengarah Unggul Medik Sdn. Bhd., yang ditemani oleh pasangannya, Noraina Mohd. Bakri (alumni 2010) yang juga alumni Sains Bioperubatan, menekankan keperluan memiliki daya usaha dan semangat keusahawanan bagi mereka yang bercita-cita untuk menceburi dunia perniagaan. Paling utama, kedua-dua alumni menekankan kepentingan penetapan matlamat dan hala tuju dalam kehidupan demi mengejar cita-cita dan impian.
Dengan sokongan berterusan daripada para pensyarah dan alumni, program seperti ini telah berjaya dijadikan tradisi tahunan bagi terus menyemai semangat kecemerlangan dalam kalangan pelajar Sains Bioperubatan UKM. Kelab Sains Bioperubatan, selaku penganjur program, juga berharap agar MAPHIS 2024 menjadi perintis kepada lebih banyak lagi aktiviti yang mampu memperkasakan mahasiswa/i dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Comments
Post a Comment