BIOMED INDUSTRY TALK: Biomed Stories of Breakthroughs

 Oleh : Exco Publisiti, Kelab Sains Bioperubatan UKM Sesi 2024/2025



Dr Chua Kien Hui (Alumni 1997), Pengarah Eksekutif di Supergenics Berhad - Sumber Foto, Exco Multimedia Biomed UKM

 

22 JANUARI 2025, KUALA LUMPUR – Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM telah menganjurkan Program Biomed Industry Talk: Biomed Stories of Breakthroughs 2025 bagi sesi 2024/2025. Tema "Biomed Stories of Breakthroughs" yang dipilih adalah amat bersesuaian dengan objektif utama penganjurannya iaitu untuk memberikan wawasan yang mendalam kepada mahasiswa/i tentang kehidupan sebenar sebagai pelajar Sains Bioperubatan dan dapat merancang perjalanan akademik yang seterusnya dengan lebih strategik. Tambahan pula, majlis tahunan ini turut diserikan dengan kehadiran Dr. Chua Kien Hui, alumni 1997 yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Supergenics Berhad. Beliau dijemput khas sebagai penceramah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi tentang industri Sains Bioperubatan agar mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan bidang tersebut.


Biomed Industry Talk 2025 ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar dari Kelab Sains Bioperubatan, dan telah dirasmikan oleh Yang Berusaha, Dr. Farah Wahida binti Ibrahim, selaku Penasihat Kelab Sains Bioperubatan. Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Farah telah menyatakan hasratnya dengan berharap program Biomed Industry Talk: Biomed Stories of Breakthroughs ini dapat menjadi platform bagi pelajar terutamanya kepada pelajar tahun satu untuk memahami dengan lebih mendalam tentang dunia Sains Bioperubatan serta potensi kerjaya dalam bidang ini. "Kejayaan tidak hanya terbatas di makmal namun merangkumi pelbagai cabang industri yang memerlukan pemikiran yang terbuka dan keberanian untuk meneroka peluang," . Beliau juga berharap perkongsian daripada Dr. Chua dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dalam pembangunan sahsiah dan pemikiran kritis. Akhir sekali, beliau mengharapkan agar program ini dapat membuka minda pelajar terhadap realiti industri dan membantu mereka merancang hala tuju kerjaya dengan lebih yakin.

Majlis ini dijalankan secara dalam talian menerusi platform Microsoft Teams dan dihadiri oleh 150 peserta yang terdiri daripada pelajar daripada tahun pertama hingga tahun keempat pengajian.



D
r. Farah Wahida, Dr Chua Kien Hui, dan pelajar, Sarjana Muda Sains Bioperubatan UKM. - Sumber Foto, Exco Multimedia Biomed UKM


Antara pengisian menarik pada hari tersebut ialah sesi perkongsian bersama Dr. Chua Kien Hui, seorang alumni yang berjaya dalam bidangnya. Dalam sesi ini, beliau telah berkongsi tentang latar belakang akademiknya, termasuk cabaran dan pengalaman yang ditempuh sepanjang pengajian. Selain itu, beliau turut menceritakan perjalanan kerjayanya selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan, bagaimana beliau membina kerjaya sehingga mencapai ke tahapnya sekarang. Di samping itu, beliau berkongsi pandangan berharga tentang prospek kerjaya dalam bidang Sains Bioperubatan, termasuk peluang pekerjaan yang tersedia, kemahiran yang diperlukan oleh majikan, serta cabaran dan perkembangan semasa dalam industri ini.Perkongsian ini bukan sahaja memberikan inspirasi kepada para peserta, malah turut membuka minda mereka tentang peluang dan hala tuju yang boleh diterokai dalam industri berkaitan.

Program diteruskan dengan sesi forum yang bertujuan membuka ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk berinteraksi secara langsung serta mengajukan soalan berkaitan peluang kerjaya dan cabaran yang dihadapi dalam bidang Bioperubatan. Melalui sesi ini, para peserta berpeluang mendapatkan pandangan yang lebih mendalam mengenai hala tuju selepas menamatkan pengajian, termasuk strategi yang boleh diterapkan untuk meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan.

Selain berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai industri, Dr. Chua Kien Hui turut memberikan nasihat yang membangun kepada para pelajar, menekankan kepentingan penguasaan kemahiran insaniah, sikap proaktif dalam mencari peluang, serta kesediaan untuk menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan. Sesi ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi akademik dan profesional, malah turut memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.



Dr Chua Kien Hui (Alumni 1997), Pengarah Eksekutif di Supergenics Berhad - Sumber Foto, Exco Multimedia Biomed UKM


Dengan sokongan berterusan daripada para pensyarah dan alumni, program seperti ini telah berjaya dijadikan tradisi tahunan bagi terus memberi inspirasi dan menyemai keazaman dalam kalangan pelajar Sains Bioperubatan UKM untuk mencapai kejayaan dalam bidang Sains Bioperubatan . Kelab Sains Bioperubatan, selaku penganjur program, juga berharap agar Industry Talk 2025 menjadi salah satu inisiatif dalam memberi pendedahan dan memperkasakan mahasiswa/i dengan ilmu serta pengalaman dalam industri agar mereka lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dan merebut peluang dalam bidang Sains Bioperubatan pada masa hadapan. 


Comments

Popular posts from this blog

MAPHIS 2024 : Pemangkin Semangat Pelajar Prasiswazah Sains Bioperubatan FSK, UKM

HARI TALASEMIA 2024/2025: Diagnostik Tepat,Rawatan Berkesan

HARI INTERAKSI BIOMED 2024/2025: Penyatu Ukhuwah Para Pelajar dan Pensyarah Sains Bioperubatan FSK/UKM