ANUGERAH PERDANA BELIA NEGARA: Saw Zi Xuan, Pelajar Tahun 3 Sains Bioperubatan
Oleh : Dhia Emylia, Pemantau Exco Publisiti, Kelab Sains Bioperubatan UKM Sesi 2024/2025
Saw Zi Xuan menerima Naib Johan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) kategori Individu Wanita Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Sumber foto, jurufoto Anugerah Perdana Belia Negara peringkat WP Kuala Lumpur
18 MEI 2025, KUALA LUMPUR – Pelajar Sains Bioperubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Saw Zi Xuan, mengharumkan nama institusi apabila diumumkan sebagai Naib Johan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) kategori Individu Wanita Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Penyampaian anugerah berprestij tersebut disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis bertempat di Lanai@MATIC, Kuala Lumpur. Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi kepada belia negara yang cemerlang dalam aktiviti pembangunan komuniti, kepimpinan dan kesukarelawanan.
Saw Zi Xuan yang mesra disapa sebagai Xuan menyifatkan kejayaannya sebagai sesuatu yang tidak disangka memandangkan kriteria pemilihan yang amat ketat. Xuan mula melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti belia dan program khidmat masyarakat. Kini, beliau menyandang 3 jawatan sekaligus iaitu sebagai Biro Pendidikan dan Pembangunan Bakat (Latihan), Majlis Belia Malaysia ; Pengerusi Jawatankuasa Jaringan Luar dan Pengantarabangsaan, Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) ; dan Ahli Lantikan Menteri Majlis Perundingan Belia Malaysia (MPBM) Kementerian Belia dan Sukan.
Beliau juga pernah menerima Anugerah Mutiara Kepimpinan, Fakulti Sains Kesihatan pada Disember, 2024. Anugerah tersebut diberikan oleh Fakulti Sains Kesihatan sebagai pengiktirafan terhadap ciri kepimpinan dalam kalangan pelajar Fakulti Sains Kesihatan. Antara program antarabangsa yang pernah disertainya ialah Malaysia Future Leader School (MFLS) Go Global, Korea Selatan ; Program Mobiliti ke Chulalongkorn University, Thailand; dan Program Mobiliti ke Universitas Indonesia.
Bagi Xuan, anugerah ini bukan sekadar kejayaan peribadi tetapi hasil usaha dan sokongan ramai pihak yang sentiasa berada di belakang tabir.
“Terima kasih kepada family , rakan-rakan dan semua pihak yang memberi sokongan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Anugerah ini bukan usaha seorang tetapi pencapaian bersama.”
Kejayaan Saw Zi Xuan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada para mahasiswa dan mahasiswi di luar sana untuk terus melangkah berani keluar dari zon selesa, merebut peluang, serta menyumbang kepada pembangunan diri dan masyarakat. Beliau membuktikan bahawa kehidupan sebagai pelajar bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut merangkumi kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, pengurusan dan keprihatinan terhadap isu sosial.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan muda, “Kepada semua belia di luar sana, teruslah percaya bahawa setiap usaha kecil kita membawa makna besar. Kita bukan hanya pemimpin masa depan. Kita adalah pemimpin hari ini.”
Comments
Post a Comment