KEMPEN DERMA DARAH BIOMED X PDN : Derma Darah, Selamatkan Nyawa

 

Oleh : Anfal, Exco Publisiti, Kelab Sains Bioperubatan UKM Sesi 2024/2025



Kakitangan Pusat Darah Negara, Pensyarah dan pelajar tahun 3 Sarjana Muda Sains Bioperubatan UKM - Sumber Foto, Exco Multimedia Kempen Derma Darah


 

16 MEI 2025, KUALA LUMPUR – Pelajar tahun 3 Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM telah menganjurkan Kempen Derma Darah 2025 dengan kerjasama Pusat Darah Negara. Tema "Give Blood, Save Lives" dipilih sebagai tema utama program ini kerana ia selari dengan matlamat penganjurannya, iaitu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah.

Kempen ini dimeriahkan dengan kehadiran lebih daripada 155 peserta yang terdiri daripada alumni serta pelajar daripada tahun pertama hingga tahun akhir pengajian. Selain melaksanakan kempen derma darah sebagai aktiviti utama, program ini turut disemarakkan dengan pameran kesihatan dan aktiviti interaktif yang bertujuan untuk menarik minat serta memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan amalan gaya hidup sihat. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan malah menitikberatkan aspek kesedaran kesihatan sekaligus menyokong usaha memperkasa kesejahteraan warga kampus dan masyarakat setempat. 


Situasi saringan sebelum menderma darah - Sumber Foto, Exco Multimedia Kempen Derma Darah




Muhammad Najmi, salah seorang penderma darah - Sumber Foto, Exco Multimedia Kempen Derma Darah



Antara pengisian menarik sepanjang program ialah sesi interaktif yang berinformasi dan menghiburkan. Aktiviti "Myth or Fact" menguji pengetahuan peserta tentang pendermaan darah dengan meneka sama ada kenyataan yang diberikan adalah mitos atau fakta. Aktiviti ini membantu membetulkan salah faham umum berkaitan pendermaan darah dengan cara yang santai. Selain itu, aktiviti "Spin the Wheel" membolehkan peserta memutar roda untuk menjawab soalan berkaitan topik darah dan kesihatan. Aktiviti "Hemoglobin Ring Toss" pula merupakan permainan membaling gelang ke sasaran yang mana mengandungi pendedahan tentang makanan yang kaya dengan zat besi seperti bayam dan telur. Ini secara tidak langsung mendidik peserta tentang kepentingan pemakanan dalam mengekalkan tahap hemoglobin yang sihat. Kehadiran maskot bertemakan pendermaan darah turut memeriahkan suasana, menarik perhatian pengunjung serta menggalakkan penglibatan secara lebih santai dan mesra.



Peserta yang turut memeriahkan kempen dengan melakukan aktiviti-aktiviti interaksi yang disediakan - Sumber Foto, Exco Multimedia Kempen Derma Darah




Pelajar Tahun 3 (penganjur) bersama maskot - Sumber Foto, Exco Multimedia Kempen Derma Darah


Dengan sokongan berterusan daripada para pensyarah dan alumni, kempen derma darah ini boleh dijadikan salah satu usaha berterusan dalam menyemai semangat kesukarelawanan dan kepedulian sosial dalam kalangan pelajar Sains Bioperubatan UKM. Pelajar Tahun 3 Sains Bioperubatan selaku penganjur program turut berharap agar kempen ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak lagi inisiatif kesihatan dan kemasyarakatan yang mampu melahirkan mahasiswa/i yang prihatin. 

Kempen ini turut menyokong agenda pembangunan lestari khususnya SDG 3, ‘Good Health and Well-Being’ bagi menjamin kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk semua peringkat umur melalui penyediaan maklumat dan peluang menderma darah serta SDG 4, ‘Quality Education’ iaitu menyediakan pendidikan yang berkualiti dan peluang pembelajaran sepanjang hayat menerusi aktiviti interaktif yang memberi pendedahan dan ilmu kesihatan kepada para peserta.

Comments

Popular posts from this blog

MAPHIS 2024 : Pemangkin Semangat Pelajar Prasiswazah Sains Bioperubatan FSK, UKM

HARI TALASEMIA 2024/2025: Diagnostik Tepat,Rawatan Berkesan

HARI INTERAKSI BIOMED 2024/2025: Penyatu Ukhuwah Para Pelajar dan Pensyarah Sains Bioperubatan FSK/UKM