PERMATA HARAPAN: Satu Hati Satu Jiwa, Menyemai Kasih Sayang
Oleh : Anfal dan Maria, Exco Publisiti, Kelab Sains Bioperubatan UKM Sesi 2024/2025
Pensyarah dan pelajar Sains Bioperubatan serta ahli Rumah Amal Raudhatul Jannah - Sumber Foto, Exco Multimedia, Program Permata Harapan
31 MEI 2025, BANTING, SELANGOR – Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM telah menganjurkan Program Permata Harapan bagi sesi 2024/2025. Tema "Satu Hati Satu Jiwa: Menyemai Kasih Sayang" yang dipilih adalah bersesuaian dengan objektif utama penganjurannya iaitu memberi motivasi dan dorongan kepada anak yatim untuk membina masa depan yang lebih cerah. Tambahan pula, majlis yang merupakan acara tahunan ini juga turut diserikan dengan kehadiran penasihat kelab serta pensyarah Sains Bioperubatan.
Program ini dimeriahkan dengan penglibatan lebih 60 peserta yang terdiri daripada para pensyarah, pelajar daripada tahun pertama hingga tahun ketiga pengajian serta anak-anak Rumah Amal Raudhatul Jannah. Program Permata Harapan merupakan sebuah inisiatif kesukarelawanan yang telah dianjurkan di Rumah Amal Raudhatul Jannah dengan penglibatan aktif para mahasiswa. Program ini dirangka bagi memberikan motivasi dan dorongan kepada anak-anak yatim untuk membina masa depan yang lebih cerah. Pelbagai aktiviti sains dan interaktif yang menyeronokkan telah dijalankan bagi menceriakan suasana serta memperkukuh semangat mereka. Selain itu, program ini turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat, dengan memupuk nilai kasih sayang serta sikap prihatin terhadap golongan yang memerlukan.
Ucapan dari Encik Muhammad Hafizuddin, wakil Rumah Anak Yatim Raudhatul Jannah - Sumber Foto, Exco Multimedia, Program Permata Harapan
Penyampaian Hadiah Penghargaan oleh Dr, Farah Wahida Ibrahim, Penasihat Kelab Sains Bioperubatan kepada Encik Muhammad Hafizuddin, wakil Rumah Amal Raudhatul Jannah diiringi oleh saudari Nor Fatihah Batrisyia, Pengarah Program Permata Harapan - Sumber Foto, Exco Multimedia, Program Permata Harapan
Antara pengisian menarik pada hari tersebut adalah pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan bagi menceriakan anak-anak yatim dan memberi mereka pengalaman bermakna. Program dimulakan dengan aktiviti Tiup dan Jawab, di mana peserta meniup belon sehingga pecah untuk menjawab teka-teki yang tersembunyi di dalamnya, sekali gus merangsang pemikiran pantas dan kreativiti. Ia diikuti dengan eksperimen Sains yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada anak-anak yatim mengenai konsep asas sains melalui pendekatan yang menyeronokkan dan interaktif. Peserta diminta menyusun cawan bertingkat dan menarik kad manila menggunakan tali tanpa menjatuhkan cawan, sekaligus memperkenalkan prinsip keseimbangan, ketepatan dan tindak balas berantai.
Slot kemuncak program ialah Isi Air Dalam Botol yang menguji kerjasama dan strategi setiap kumpulan apabila mereka perlu memindahkan air menggunakan span dari baldi ke dalam botol. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan rasa ingin tahu, malah turut membina semangat kerjasama, keyakinan diri serta menyemai minat terhadap ilmu sains. Pelaksanaan eksperimen ini juga selari dengan latar belakang pelaksana program yang merupakan pelajar dalam bidang Sains Bioperubatan yang juga menjadi medium untuk mengaplikasikan ilmu secara praktikal sambil menyumbang kepada masyarakat.
Acara isi air dalam botol - Sumber Foto, Exco Multimedia, Program Permata Harapan
Juara keseluruhan bagi aktiviti berkumpulan - Sumber Foto, Exco Multimedia, Program Permata Harapan
Dengan sokongan berterusan daripada para pensyarah dan rakan mahasiswa, program seperti ini telah berjaya dijadikan tradisi tahunan bagi terus menyemai nilai murni dalam kalangan pelajar Sains Bioperubatan UKM, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat. Kelab Sains Bioperubatan, selaku penganjur program juga berharap agar Permata Harapan 2025 dapat diteruskan dan dikembangkan lagi sebagai inisiatif berimpak tinggi yang membentuk mahasiswa/i yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga berjiwa prihatin dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Secara tidak langsung, program ini turut menyokong beberapa matlamat pembangunan mampan (SDG) seperti SDG 10, Reduced Inequalities yang menjadikannya satu usaha yang holistik dalam membina masyarakat yang lebih seimbang dan penyayang.
Comments
Post a Comment